Asal-usul Bulan
Tiga pendapat berbeda telah lama dibahaskan. Senario pertama adalah pembentukan Bulan melalui pemecahan. Dipermulaan pembentukannya, Bumi adalah berbentuk jisim cecair yang berputar agak cepat. Disebabkan kuasa sentrifugalnya, Bumi telah mengusirkan sebahagian dari jisimnya yang akhirnya berkumpul membentuk Bulan. Senario kedua mencadangkan pembentukan Bumi dan Bulan secara serentak dan berpunca dari jenis debu-debu yang sama. Senario yang ketiga mencadangkan bahawa Bulan telah terbentuk di suatu kawasan lain di dalam Sistem Suria yang pada suatu ketika dulu telah terperangkap dalam tarikan graviti Bumi.
Analisis batuan Bulan menunjukkan bahawa komposisi kimianya didapati berbeza dari komposisi kimia batuan Bumi, terutama sekali nisbah besinya. Oleh yang demikian, Bulan tidak mungkin terbentuk daripada bahan yang dirampas dari Bumi dan dia juga tidak mungkin terbentuk di kawasan persekitaran Bumi. Tambahan pula, senario pertama memerlukan satu kelajuan putaran yang amat tinggi dan senario kedua pula tidak dapat menjelaskan kenapa Bulan mempunyai teras yang teramat kecil berbanding Bumi. Akhirnya, senario ketiga susah untuk diterima bila kita bayangkan betapa susahnya untuk Bumi memerangkap satu objek sedemikian besar dan membawanya kedalam satu orbit yang stabil. Tambahan pula, analisis keatas beberapa nuklei yang berlainan menunjukkan satu kesamaan nisbah yang kuat di antara Bumi dan Bulan, menjadikan senario ini susah untuk diterangkan bila dua jasad tersebut terbentuk secara berlainan.
Ramai pakar saintis planet mencadangkan dalam tahun 1975 satu senario keempat yang jauh lebih rumit untuk menerangkan asal-usul Bulan. Menurut mereka, awal dalam sejarah pembentukan Sistem Suria, satu perlanggaran telah terjadi diantara Bumi dan satu objek lain sebesar Marikh. Perlanggaran ini menghasilkan sebahagian daripada bahan-bahan terpisah lalu berkumpul membentuk Bulan.
Senario terakhir ini dapat menerangkan persamaan dan juga perbezaan antara Bumi dan Bulan. Semasa perlanggaran tersebut, kebanyakan unsur-unsur besi telah berkumpul membentuk teras Bumi. Bahan-bahan yang terpisah dari lapisan mantel pula kurang kandungan besi menerangkan kenapa Bulan mempunya satu nisbah besi yang rendah. Nisbah beberapa nuklei-nuklei atom yang berlainan didapati serupa mencadangkan bahawa kedua-dua jasad-jasad tersebut mempunyai asal-usul yang sama. Akhirnya, sifat rambang perlanggaran inilah menyebabkan Bumi sebagai satu-satunya planet di Sistem Suria yang mempunyai satelit sebegitu besar.